Memang tiada siapa pun dapat menduga bila saat
kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan
‘menanti’ saat kematian mereka. Allah berfirman yang bermaksud:
“Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami
menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah
kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiyak ayat 35)
Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa
merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya
manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.
Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk
ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak
menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.
Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh
Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bahawa
malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari.
Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa.
Maka berkata Izrail: ‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku
diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok
dan bergelak ketawa.’”
Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia
yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada
masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok hari terakhir Allah
‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah
cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam
akhirat?
Tiada seorang pun di dunia ini dapat
menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat
kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat,
kaya atau miskin. Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa
kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam
atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah
betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian. Kalau hendak diikutkan
siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan.
Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya
dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).
Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w
yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati
itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan
ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.
“Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik,
air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan
azab Allah sedang menimpa dia.” (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan
at-Tarmizi)
Kematian ‘menjemput’ manusia secara
perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai aripada jasad, hujung kaki kemudian ke
paha. Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya
akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih.
Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.
Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah
s.a.w yang bermaksud: “Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari
jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan
direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor
khimar.”
Allah juga turut menimpakan seorang Muslim
yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang
terakhir sebagai kaffarah dosanya. Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam
ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah
balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas. Tetapi kerana
tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab
pada hari akhirat kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan
malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik
rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut.
“Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat
yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya
mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik
rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. “Dan
akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari
dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang
itu.”
Malaikat Izrail menjalankan arahan Allah s.w.t
dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja
ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Kematian mungkin
berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga
yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser,
jantung, Aids, denggi dan taun. Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat
yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar
akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia.
Maka waktu itu mereka masih berpeluang
bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati
mengejut disebabkan kemalangan. Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada
mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk
memperbaiki diri.
Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat
kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Allah
menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut.
Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat
Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa. Ini
kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri
daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh. Malaikat maut
mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam a.s.
Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh
manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat kehilangan orang
tersayang dalam hidup mereka. Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal
dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di
tempat yang sesuai sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya
menghala ke arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan
sehelai kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya
dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana
dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana
berat di atas perutnya seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup
mencium jenazah. Umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu
dengan tanda tertentu.
Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin
mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul. Jika ada
kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris
apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya. Tiada siapa pun
dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan datang
tepat pada masanya.
Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam
digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan
banyakkan bersabar. Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan
meratapi kematian. Mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan
memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan
kesalahan. Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada
kematian. Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan
keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah.
No comments:
Post a Comment